Sunday, December 10, 2006

Kejujuran bukti cinta sejati

PERCINTAAN bukan pasti berakhir dengan perkahwinan, malah ada pasangan yang bercinta bagai Laila dan Majnun tetapi akhirnya putus di pertengahan jalan.

Justeru, apabila mengingatkan kisah percintaan lama, pasti ramai di antara kita yang tersenyum sendiri. Bagi lelaki dan wanita, mereka tentu mempunyai kisah percintaan sendiri yang kadangkala jika ditulis boleh dibuat novel.

Ada yang kecewa akibat bercinta mengambil keputusan terus membujang sehingga tua, seolah-olah cinta pertama itu terlalu agung dan tidak boleh diganti dengan percintaan lain.

Namun, bagi kebanyakan kita, jodoh pertemuan ketentuan Ilahi. Justeru, apabila gagal dalam percintaan pertama, kedua dan seterusnya, masih ada ruang untuk mengubat kedukaan itu.

Apabila menjadi suami isteri, kadangkala teringat juga kisah percintaan lama. Ada di antara kita yang berani untuk memberitahu pasangannya mengenai cerita cinta yang pernah ditempuhi dan bagi yang lain menyimpan dalam memori sendiri.

Setiap orang pasti memiliki kisah masa lalu, sama ada buruk atau indah. Timbul persoalan, adakah kisah masa lalu yang buruk itu perlu diceritakan kepada kekasih kita?

Adakah jika diceritakan akan membuktikan betapa dalamnya cinta anda dan pasangan? Atau adakah dengan membuka cerita cinta lama itu akan merosak dan memporak-porandakan hubungan anda?

Ada yang berkata, jika anda tidak menyampaikan kisah cinta masa lalu, maka anda akan menjadi seorang pembohong di hadapan orang yang anda cintai dan anda tidak mungkin dapat mencintainya sepenuh hati.

Ini berlaku terutama kepada pasangan yang berkomitmen untuk bersama-sama selamanya, justeru setiap orang berhak mengetahui kisah pasangan yang dicintainya itu.

Namun, sebelum anda ingin menceritakan kisah percintaan masa lalu, pastikan pasangan anda bersedia menerima segala masa lalu anda dan melupakannya!

Beberapa hal yang perlu diperhatikan untuk menyingkap masa lalu:

- Bagaimana keadaan anda ketika melalui saat-saat percintaan dengan bekas kekasih anda.
- Kehidupan sekarang lebih baik daripada masa lalu.
- Cerita percintaan masa lalu itu akan meningkatkan kualiti cinta anda.
- Ceritakan percintaan masa lalu yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan anda dan pasangan ketika ini.
- Jalani hubungan anda dan pasangan dengan saling menanamkan kepercayaan dalam hubungan cinta.
- Tanamkan dalam diri hubungan ketika ini amat penting, justeru anda jujur untuk menceritakan kisah percintaan masa lalu.

Hargai anugerah ‘cinta’

BAYANGKAN anda mencintai seseorang tetapi orang itu tidak mencintai anda, tentu menyakitkan. Tetapi, anda lebih kecewa apabila anda mencintai seseorang tetapi tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu apa yang anda rasakan.

Percaya atau tidak, anda memerlukan seminit untuk tertarik kepada seseorang, sejam untuk menyukai seseorang, sehari untuk mencintai seseorang tetapi mengambil masa seumur hidup untuk melupakan seseorang yang anda cintai.

Mungkin Tuhan sengaja menemukan kita dengan seseorang yang tidak sepadan sebelum kita ditemukan dengan orang yang sehati sejiwa. Justeru, apabila kita bertemu dengan orang yang tepat, kita akan mengetahui betapa berharganya anugerah itu.

Cinta adalah ketika anda dibuai perasaan, kesabaran dan romantis dalam suatu hubungan serta mengetahui bahawa anda amat mengambil berat mengenai si dia.

Hal yang menyedihkan dalam hidup adalah ketika bertemu seseorang yang sangat bererti bagi kita, namun akhirnya kita terpaksa membiarkan dia pergi. Ketika pintu kebahagiaan tertutup, yang lain terbuka.

Tetapi kadangkala kita menatap terlalu lama pada pintu yang tertutup itu sehingga kita tidak melihat pintu lain yang terbuka untuk kita.

Teman yang terbaik adalah individu yang sentiasa berada di sisi, berasa seronok ketika bersama dan dia tidak pernah mengatakan apa-apa selain tetap menyokong anda dari belakang.

Memberikan seseorang semua cinta tidak pernah menjamin bahawa mereka akan mencintai anda.

Jangan mengharapkan cinta sebagai balasan, tunggulah sampai cinta itu berputik di dalam hatinya. Tetapi jika tidak, pastikan dia tumbuh dalam hatimu.

Ada hal yang sangat ingin anda dengar tetapi tidak akan pernah anda dengar daripada seseorang yang anda sukai. Tetapi jangan sampai anda menjadi tuli walaupun tidak mendengar luahan hatinya.

Jangan pernah mengucapkan selamat tinggal jika anda masih ingin mencuba. Jangan menyerah selama anda berasa masih ada harapan. Jangan pernah berkata anda tidak mencintainya lagi walhal tidak sanggup membiarkan dia pergi.

Cinta datang kepada mereka yang masih mempunyai harapan walaupun sering dikecewakan. Cinta hadir kepada mereka yang masih mempercayai, walaupun kerap dikhianati. Cinta juga menghampiri mereka yang masih ingin mencintai, walaupun berulang kali disakiti dan kepada mereka yang mempunyai keberanian serta keyakinan untuk membina kembali kepercayaan. Janganlah mudah berputus asa.

Jangan melihat daripada wajah, itu boleh menipu. Jangan melihat kekayaan, itu boleh luput. Berharaplah kepada seseorang yang dapat membuatmu tersenyum kerana sebuah senyuman dapat membuat hari yang gelap menjadi cerah.

Berharaplah anda bertemu seseorang yang dapat membuat anda tersenyum. Ada saat dalam kehidupan apabila anda sangat merindukan seseorang, ingin menemui dan memeluknya.Berharaplah anda dapat mimpikan si dia, pergilah ke mana saja anda ingin kunjungi, jadilah sesuai dengan keinginan anda kerana anda hanya hidup sekali dan satu kesempatan untuk melakukan apa diinginkan.

Semoga anda memperoleh cukup kebahagiaan, cukup dugaan untuk membuat anda kuat, cukup penderitaan untuk membuat anda menjadi manusia yang tabah dan cukup harapan untuk membuat kamu berbahagia.

Selalu letakkan diri pada posisi orang lain. Jika anda berasa itu menyakitkan, mungkin ia akan menyakitkan orang lain.

Orang yang bahagia tidak perlu memiliki yang terbaik dalam segala hal. Mereka melakukan yang terbaik dalam segala hal. Kebahagiaan bukan bagi mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang mencari, mereka yang mencuba.

Cinta bermula dengan senyuman, tumbuh dengan kemesraan dan berakhir dengan air mata. Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang dilupakan, Anda tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan hingga anda melupakan kegagalan dan rasa sakit hati.

Ketika lahir, anda menangis dan semua orang di sekeliling tersenyum. Hiduplah dengan hidupmu, justeru ketika anda meninggal dunia, anda satu-satunya yang tersenyum dan semua orang di sekeliling menangis.

Web Bands, Glitter Graphics, MySpace Graphics, MySpace Codes, MySpace layouts, Doll Codes from http://www.dressupmyspace.com